Cyberview Dan VADS Lyfe Bekerjasama Untuk Pelaksanaan Sistem Analisis Dan Pengecaman Trafik Pintar Di Cyberjaya
[vc_row][vc_column][vc_column_text]Analisis kawalan trafik mudah suai melalui kamera CCTV digunakan bagi integrasi menyeluruh sistem lampu isyarat sedia ada untuk mengurangkan masa menunggu trafik sebanyak 65%
Cyberview Sdn Bhd bersama-sama dengan VADS Lyfe Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia Berhad (TM) hari ini berkongsi kejayaan Sistem Analisis dan Pengecaman Trafik Pintar sebagai sebahagian pelan hala tuju transformasi bandar pintar bagi Cyberjaya ke arah menjadi sebuah hab teknologi global.
Sistem berasaskan Internet untuk Segala-galanya (IoT) ini telah dibangunkan secara tempatan oleh VADS Lyfe dan telah dipasang sepanjang Persiaran Multimedia, Cyberjaya pada Julai tahun ini. Sistem tersebut membolehkan sistem lampu trafik sedia ada mudah diubah suai dan mengagihkan tempoh masa lampu isyarat hijau secara automatik bagi memastikan aliran trafik yang lancar. Ini dapat menangani kesesakan lalu lintas, mengurangkan masa perjalanan dan masa menunggu, seterusnya memenuhi keperluan trafik harian yang sentiasa berubah. Selain itu, penyelesaian ini dapat membantu mengurangkan penggunaan bahan api, pencemaran udara, dan pelepasan karbon dari kenderaan.
Dengan sistem baharu ini, masa menunggu bagi lampu isyarat trafik sepanjang Persiaran Multimedia, Cyberjaya telah berjaya dikurangkan sebanyak 65% iaitu antara 8 – 11 minit berbanding kira-kira 32 minit sebelum ini semasa waktu puncak. Sistem lampu trafik sepanjang Persiaran Multimedia adalah sejauh 3.5km dan terdiri daripada lapan (8) persimpangan lampu isyarat.
“Usaha ini adalah selaras dengan peranan Cyberview sebagai pemacu hab teknologi yang membawa ke arah transformasi Cyberjaya kepada sebuah bandar pintar yang berkembang maju menerusi inovasi. Sebagai sebuah makmal hidup bagi penyelesaian bandar pintar, kami berhasrat menerapkan teknologi ke dalam setiap aspek perbandaran ini melalui usahasama dengan rakan-rakan kongsi kami; daripada meningkatkan aspek-aspek asas dengan memacu kesediaan IoT di sini, merintis penyelesaian pintar, sehinggalah mempertingkatkan infrastruktur dan perkhidmatan bandar serta menawarkan sokongan perniagaan dan pemasaran untuk idea-idea yang hebat,” kata Datuk Faris Yahaya, Pengarah Urusan Cyberview Sdn Bhd.
“Sistem Analisis dan Pengecaman Trafik Pintar yang dirasmikan hari ini adalah hasil daripada kolaborasi dengan salah satu daripada rakan kongsi kami. Ini merupakan sebahagian daripada pelbagai kerjasama pintar yang kami ingin laksanakan pada masa hadapan dalam bidang infrastruktur, alam sekitar, sosial dan ekonomi di Cyberjaya. Dengan kerjasama VADS Lyfe, ruang inovasi teknologi di sini akan terus dipertingkatkan melalui penyelesaian pintar yang memberi manfaat kepada penduduk bandar ini. Apa yang paling penting, kami berharap untuk melihat bukan sahaja penduduk Cyberjaya, tetapi seluruh penduduk Malaysia, menikmati penyelesaian bandar pintar terkini yang dibangunkan dan diperincikan di Cyberjaya,” tambah Faris.
Sistem Analisis dan Pengecaman Trafik Pintar ini bertujuan untuk mempertingkatkan pendekatan sistem lampu isyarat sedia ada. Sistem tersebut menggunakan televisyen kamera litar tertutup (CCTV) bagi membolehkan analisis masa nyata keadaan trafik di setiap persimpangan melalui pendekatan analisis video pengesanan. Sistem ini akan menyesuaikan tempoh masa lampu hijau secara dinamik mengikut analisis, seterusnya memastikan aliran trafik yang lebih baik sepanjang jalan berkenaan.
Massimo Miglioulo, Ketua Pegawai Eksekutif, VADS Lyfe berkata, “Sistem Analisis dan Pengecaman Trafik Pintar ini merupakan satu sistem yang kos efektif bagi kawasan brownfield seperti Cyberjaya, kerana ia memanfaatkan infrastruktur TM sedia ada secara meluas. Kini, kita mampu menyesuaikan tempoh lampu hijau bagi setiap lampu isyarat secara dinamik dan menghubungkan dengan lampu isyarat yang berikutnya secara kawalan jauh. Dengan berbuat demikian, lampu isyarat bersebelahan akan menjadi lebih peka dengan persimpangan berdekatan sekaligus mengoptimumkan aliran dari satu simpang ke simpang seterusnya. Dengan aliran trafik yang lebih lancar, pengguna jalan raya di sini dapat menjimatkan masa perjalanan dan wang, menjadikan Cyberjaya sebuah bandar lebih efisien yang memperkayakan masyarakat, sejajar dengan janji jenama kami, ‘Hidup Lebih Mudah’.”
Di bawah sistem operasi lampu isyarat tradisional, lampu isyarat akan memaparkan lampu hijau untuk tempoh yang telah ditetapkan bagi setiap kitaran tanpa mengambil kira keadaan trafik masa nyata. Jika tiada kenderaan menunggu, masa tersebut boleh diperuntukkan dengan lebih baik bagi memenuhi keadaan yang lebih sibuk. Masa yang diperuntukkan bagi setiap pendekatan hanya boleh diubah menerusi tetapan manual. Bagaimanapun isu yang paling penting masih kekal – kekurangan mekanisme maklum balas yang membolehkan interaksi dengan alat kawalan untuk menyediakan data keperluan trafik.
Dengan adanya Sistem Analisis dan Pengecaman Trafik Pintar, ia dilengkapi dengan sistem pengurusan jarak jauh yang membolehkan pemantauan dijalankan dari Pusat Tindakan Pengurusan Trafik (Traffic Management Command Centre). Pusat ini terletak di CoInnov8, Cyberview, sebuah pusat kolaboratif bagi penyelesaian bandar pintar dan IoT. VADS Lyfe, dengan kerjasama Intel, menggunakan teknologi Intel® IoT Gateway untuk menganalisis data yang disalurkan melalui CCTV berasaskan protokol internet. Analisis berkenaan membolehkan kawalan dinamik lampu isyarat bagi mengoptimumkan aliran, dan membolehkan sistem ini disesuaikan dengan keperluan dan keadaan trafik masa hadapan. Penggunaan teknologi Intel® IoT Gateway juga membolehkan data tersebut diperluaskan untuk menyokong pemantauan bandar dan membantu aktiviti perancangan bandar.
Sistem Analisis dan Pengecaman Trafik Pintar telah dibangunkan di bawah inisiatif pembangunan Bandar Pintar Cyberview dan disokong oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) melalui dana Smart City Catalyst.
Mengenai Cyberview Sdn Bhd
Cyberview telah menerajui pembangunan Cyberjaya kepada sebuah hab teknologi global sejak ditubuhkan pada tahun 1996. Syarikat ini telah berkembang dengan kukuh dengan mengambil peranan sebagai penggerak hab teknologi. Untuk maklumat lanjut, sila layari http://cyberview.com.my/
Mengenai VADS Lyfe Sdn Bhd
VADS Lyfe Sdn. Bhd. (VADS Lyfe), anak syarikat milik penuh Telekom Malaysia Berhad (TM) telah ditubuhkan pada tahun 2009 bertujuan untuk membangunkan dan menyediakan penyelesaian bandar pintar. Beraspirasi untuk menjadi peneraju pasaran dalam perkhidmatan kediaman pintar dan bandar pintar bagi pembangunan hartanah di Malaysia, VADS Lyfe menyediakan khidmat perundingan, reka bentuk, pembinaan serta operasi perkhidmatan pintar. Syarikat sebelum ini dikenali sebagai GTC Global Sdn Bhd dengan aktiviti teras perniagaan adalah dalam pemasangan dan penyelenggaraan sistem pemantauan keselamatan bersepadu dan penyelesaian jalur lebar.
Kini, VADS Lyfe memanfaatkan sambungan dan keupayaan ICT TM yang meluas, untuk menyediakan penyelesaian pintar yang akan disesuaikan dengan keperluan pemaju dan pemilik rumah seperti berikut:
- Perkhidmatan ICT pintar: Menyediakan sambungan dan infrastruktur responsif yang membina fungsi dan asas bagi membolehkan perkhidmatan pintar
- Keselamatan dan Kawalan: Pemantauan masa nyata bagi meningkatkan keselamatan, memberi tindak balas kecemasan yang lebih pantas dan meningkatkan pencegahan jenayah
- Mobiliti pintar: Penyelesaian yang berdasarkan teknologi untuk meningkatkan mobiliti; memberikan maklumat yang akan membantu membuat keputusan bagi pilihan terbaik untuk perjalanan, menguruskan lalu lintas dan tempat letak kenderaan
- Pengurusan tenaga dan prasarana: Mengoptimumkan pengunaan asset-aset dan sumber-sumber sambil mengurangkan kos operasi melalui penggunaan tenaga yang lebih rendah
- Papan tanda digital: platform komunikasi, pengumuman, pengiklanan dan promosi yang lebih efektif melalui antara muka interaktif bagi pengalaman pengguna yang dipertingkatkan
- Portal rakyat: Pusat komuniti sehenti bagi maklumat dan komunikasi, menggalakkan perkongsian pengetahuan, perniagaan dan inovasi.
Penyelesaian pintar kami akan berpusat di Pusat Operasi Bersepadu (IOC), yang menyediakan pemantauan berpusat 24/7 pada platform tunggal bagi kesiapsiagaan situasi, analisis perkhidmatan pintar, tindak balas kecemasan dan pengurusan penggera.
Untuk maklumat lanjut layari www.tm.com.my[/vc_column_text][/vc_column][/vc_row]
You must be logged in to post a comment.
There are no comments
Add yours